Wednesday 18 November 2015

TOKOH ISLAM (AL-ZAHRAWI) PAKAR BEDAH


AL-ZAHRAWI: TOKOH ISLAM – PAKAR BEDAH


PENGENALAN
Nama sebenar beliau adalah Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas al-Zahrawi. Beliau dilahirkan pada 936 M di kota diraja Al-Zahra’, terletak kira-kira 9.6 kilometer dari Cordova, Andalus/Sepanyol dan meninggal dunia di tempat yang sama pada tahun 1013 M. Al-Zahrawi berketurunan Arab Ansar dan kemudian berpindah ke Sepanyol. Beliau menetap di Cordova dan menuntut ilmu serta mengubati masyarakat. Beliau juga mengajar ilmu perubatan di Cordova. Al-Zahrawi lebih tertumpu kepada pembedahan dalam perubatan. Beliau dikenali sebagai Bapa Bedah Moden pada abad pertengahan. Beliau terkenal dalam bidang perubatan kerana pernah berkhidmat sebagai doktor peribadi kepada Raja Andalusia iaitu Khalifah Al-Hakam II.


SUMBANGAN

Al-Zahrawi adalah seorang pakar bedah yang dikagumi dan dihormati ramai. Terdapat ramai pesakit dan pelajar yang datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan dan meminta nasihat. Menurut Will Durant, Sepanyol pada masa tersebut telah menjadi tumpuan orang Eropah untuk menjalani rawatan pembedahan. Dr. Campbell dalam bukunya, “Sejarah Perubatan Arab” menyatakan bahawa prinsip perubatan Al-Zahrawi telah menjadi asas Kurikulum Perubatan Eropah.
 Sebagai seorang pengkaji alat-alat pembedahan, Al-Zahrawi terkenal dalam menghasilkan alat-alat untuk mengenalpasti bahagian dalaman badan seperti telinga. Beliau juga memperkenalkan teknik pembakaran tisu dalam 50 jenis pembedahan yang berbeza. Sebagai tambahan, Al-Zahrawi juga menyumbang kepada penyediaan ubat-ubatan dan aplikasi teknik-teknik dalam pembedahan. Beliau juga menjadi orang yang pertama menceritakan dengan terperinci mengenai hemofilia dan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat. Setiap alat bedah yang dicipta itu mempunyai fungsi tersendiri untuk merawat, memeriksa dan membedah pada bahagian-bahagian tertentu. Alat-alatan bedah beliau tidak kurang dari 150 alatan. Al-Zahrawi juga mencatatkan alat-alat bedah yang dibuat daripada besi adalah lebih baik daripada bahan lain seperti emas. Ini kerana emas tidak cukup panas apabila dipanaskan ataupun terlebih menyerap kepanasan yang akan menyebabkan emas mencair. Antara alat-alat ciptaan Al-Zahrawi ialah:

                       1.      Alat bedah dan pemeriksaan bagi mata, hidung, lidah dan telinga
                       2.      Alat untuk mengeluarkan batu karang dalam pundi kencing
                       3.      Alat untuk mengeluarkan sel kanser tahap 1. (kanser peringkat awal).
                       4.      Alat untuk mengeluarkan janin mati daripada perut ibu.
                       5.      Alat untuk pergigian Dalam Kitab At-Tasrif juga, 





KARYA

Kitab Tasrif Al-Zahrawi sangat menyumbang kepada bidang perubatan dan pembedahan dunia Barat. Karya beliau menjadi terkenal pada zaman pertengahan, kira-kira menjelang abad ke-12 dan ke-13. Pakar bedah Perancis yang terkenal, Gus de Ghauliac (1368 M) menjadikan tulisan Al-Zahrawi sebagai bahan tambahan dalam buku bedahnya. Kitab At-Tasrif juga menjadi bahan rujukan selama 5 abad di Universiti Salerno di Rom, Itali , Motpellier di France dan beberapa universiti lain di Eropah. Sejarah penterjamahan kitab At-Tasrif dilakukan kali pertama oleh Gerard Cremona, seorang sarjana Itali pada zaman pertengahan dan zaman Renaissanc. Gerard menterjamah kitab At-Tasrif ke dalam bahasa latin. At-Tasrif juga dicetak dalam bahasa Latin dan Hebrew dengan nama 'Medical Vademecum' pada 1497M. Bahagian mengenai tumbuhan dicetak di Venice pada 1471M, mengenai pembedahan juga dicetak di Venice pada tahun 1497M. Bahagian klinikal pula dicetak pada tahun 1519M di Osnabruck, German dan pada tahun 1566M, bahagian penyakit puan dicetak di Basel, Swiss.
Kitab At-Tasrif telah menjadi sangat terkenal dalam kalangan sarjana Barat dan menjadi rujukan sehingga ke abad ini. Sekaligus ketokohan Al-Zahrawi telah membuka jalan kepada para sarjana sains baik Islam mahupun Barat untuk mengembangkan teknologi perubatan dan pembedahan selari dengan era moden masa kini. Kitab At-Tasrif juga disebut sebagai ensiklopedia Al-Zahrawi yang mengandungi 30 jilid yang meliputi pelbagai bidang perubatan, kedoktoran dan pembedahan. Jumlah helaian pula tidak kurang daripada 1500 muka surat. Dalam bab pembedahan, Al-Zahrawi mencatatkan pelbagai ilustrasi teknik-teknik pembedahan, alat-alat bedah, serta panduan melakukan pembedahan dengan tertib. Antara teknik pembedahan yang telah diperkenalkan oleh Al-Zahrawi adalah seperti berikut:

                                          1.      Teknik pembedahan mata untuk katarak.
                                          2.      Teknik pembedahan hidung dan telinga.
                                          3.      Teknik pembidanan untuk ibu-ibu bersalin.
                                          4.      Teknik rawatan pergigian.
                                          5.      Teknik pembedahan perut dan pundi kencing.
                                          6.     Teknik pembedahan bagi kanser (contohnya kanser payudara).
                                          7.    Teknik merawat tulang patah Al-Zahrawi juga memaparkan alat-
                                                  alat bedah ciptaan beliau dan juga cara penggunaannya.
 
Al-Zahrawi memuatkan info-info penting berkenaan dengan tips kesihatan dan diet seimbang bagi pesakit. Sebagai tambahan, Al-Zahrawi juga menyumbang kepada penyediaan ubat-ubatan seperti ubatan herba. Ubat-ubatan beliau dihasilkan dari teknik penyulingan dan pemejalwapan. Beliau juga menjadi orang pertama memperihalkan  secara terperinci mengenai hemofilia. Hemofilia merupakan penyakit keturunan yang berpunca akibat kekurangan faktor pembekuan darah. Pesakit akan mengalami pendarahan yang serius apabila terluka.  Al-Zahrawi juga memperkenalkan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat, Selain itu, Al-Zahrawi juga memperkenalkan teknik pengikat di lengan untuk menghentikan aliran darah ketika berlaku pendarahan yang teruk. Sumbangan Al-Zahwari ini ternyata amat besar dan mencapah.

Beliau bukan sahaja mahir dalam bidang perubatan dan pembedahan malahan ada yang mendakwa Al-Zahrawi juga turut mahir dalam bidang kosmetik dan kecantikan. Beliau telah memperkenalkan minyak gosok serta kepentingannya. Cara-cara penyediaan minyak gosok daripada bahan-bahan asas juga pernah dicatat oleh beliau dalam karyanya At-Tasrif. Al-Zahrawi juga menggunakan zat minyak yang disebut sebagai Adhan untuk rawatan dan kecantikan.

Bukan hanya itu, malahan Al-Zahrawi juga memperkenalkan jenis-jenis wangian yang pelbagai dan penuh beraroma. Teknik-teknik menguatkan gusi serta memutihkan gigi juga telah diperkenalkan oleh tokoh hebat ini. Oleh itu, masyarakat Islam Andalus pada abad ke-12 telah mengetahui dan menggunakan produk-produk kecantikan antaranya krim tangan, pembersih mulut dan pembersih hidung.  Pada zaman keemasan Islam itu juga, masyarakat telah menggunakan sejenis detergen yang bernama Lenor untuk wangian dan pencuci pakaian agar sentiasa harum dan segar.

Kaedah berbekam juga turut dicatatkan oleh Al-Zahrawi dalam kitabnya. Beliau mengatakan penggunaan cawan atau alat berbekam boleh diperbuat daripada tanduk, kayu, tembaga, atau kaca. Kaedah rawatan berbekam mempunyai dua cara, berbekam kering, (dengan api atau tanpa api) dan bekam basah. Al-Zahrawi menggunakan minyak beraroma dan air sebelum dan selepas berbekam untuk mempercepatkan penyembuhan. Beliau hanya menyarankan penggunaan lintah untuk berbekam pada anggota badan yang tidak boleh berbekam secara biasa seperti hidung dan jari. Jelas di sini ianya tidak selari dengan pandangan umum yang boleh menggunakan lintah untuk bekam secara meluas.
Sesungguhnya Al-Zahrawi adalah tokoh Islam dalam bidang perubatan terutama dalam pakar pembedahan membuka mata dunia bahawa Islam sememangnya melahirkan insan yang celik akal.



No comments:

Post a Comment